Akhirnya, aktiviti Summit On The Air (SOTA) di puncak Gunung Ledang yang dianjurkan oleh JASRA telah selesai dan berjaya dilaksanakan bermula 26 Januari hingga 28 Januari 2024. Syarat-syarat dan peraturan aktiviti ini adalah berdasarkan garis panduan yang telah ditetapkan oleh SOTA UK dan merujuk kepada puncak gunung atau puncak bukit yang telah disenaraikan, sebanyak 373 puncak gunung/bukit telah terdaftar untuk Semenanjung Malaysia, dari jumlah itu, 33 puncak adalah di negeri Johor dan Gunung Ledang adalah salah satunya.
Aktiviti SOTA di Gunung Ledang adalah aktiviti julung-julung kalinya dianjurkan oleh JASRA untuk memberikan peluang kepada ahli-ahli yang berminat memahami dan mendalami peraturan SOTA, pengetahuan dan penggunaan radio khususnya Radio HF QRP, sumber kuasa dari power bank dan antenna portable yang bersesuaian sama ada end fed half wave (EFHW) atau dipole long wire. Hebahan telah dilaksanakan melalui laman web JASRA, melalui facebook dan Telegram. Mesyuarat Ahli Jawatankuasa secara online juga telah dilaksanakan untuk membincangkan pengurusan aktiviti ini dan beberapa hari sebelum aktiviti dilaksanakan, taklimat secara online kepada peserta juga telah dilaksanakan.
Setelah usaha, tenaga dan penat lelah mendaki puncak gunung, akhirnya semua peserta berjaya sampai ke puncak. Dalam suasana yang sangat sejuk, lembap dan angin yang terlalu kuat, kerja-kerja memasang antenna portable dipole dan end feed half wave dilakukan. Seterusnya memasang radio QRP dengan sumber kuasa power bank. Pengalaman ini adalah sangat mencabar kerana berada didalam situasi yang sangat tidak selesa dengan cuaca yang sangat cepat berubah dan tiupan angin kuat.
Hasil dari pengalaman aktiviti tersebut, banyak kelemahan telah dapat dikenal pasti khususnya terhadap pengetahuan asas dan teknik CQ yang masih belum dikuasai oleh sebahagian dari peserta. Kecuali mode SSB yang biasa dipergunakan, mode komunikasi satelit dan komunikasi digital juga mengalami kegagalan. Kelemahan ini harus diperbaiki dalam aktiviti SOTA yang akan datang. Komitmen dan latihan yang berterusan perlu dilakukan oleh peserta-peserta untuk menentukan komunikasi QRP berjaya dilakukan di dalam keadaan serba kekurangan, khususnya sumber kuasa dari power bank yang sangat terbatas. Seramai 21 orang peserta telah dapat menghadirkan diri dan mengikuti aktiviti yang dilaksanakan.
Selain daripada itu, beberapa orang telah ditugaskan untuk membuat senggaraan kepada repeater VHF JASRA, dimana kerja-kerja membersihkan dan mengecat semula kotak repeater telah dilakukan kerana ada bahagian tertentu yang berkarat disebabkan kelembapan yang sangat tinggi di puncak gunung. Kerja-kerja membetulkan semula antenna yang telah condong juga telah dilaksanakan akibat dari angin yang terlalu kuat.
Sesungguhnya penganjuran aktiviti latihan radio seperti ini adalah pengalaman sangat berharga, bukan sahaja kepada AJK Penganjur, malah kepada pseserta juga. Persiapan mengambil pesanan dan membuat tempahan baju khas SOTA JASRA, menyediakan banner, buku log dan maklumat aktiviti di QRZ.com adalah sangat penting untuk dilaksanakan. Selain dari itu, semua peserta juga telah mendapat sijil penyertaan sebagai tanda penghargaan.
JASRA dengan ini mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Taman Negara Johor Gunung Ledang yang telah memberikan kebenaran memasuki kawasan perkhemahan dan puncak Gunung Ledang. JASRA juga merakamkan ucapan penghargaan kepada DXPortable dari Indonesia kerana telah bersama-sama menyertai aktiviti kali ini dan mudah-mudahan kerjasama yang erat ini akan diteruskan dimasa-masa yang akan datang. Selanjutnya, ucapan setinggi-tinggi penghargaan juga kepada semua peserta yang telah menjayakan aktiviti dan progam pada kali ini. Semoga dengan aktiviti seperti ini akan memberikan sumber inspirasi dan pencetus semangat untuk mendalami ilmu dan pengetahuan didalam radio amatur.
Admin